JERLUN: Ibu seorang daripada penumpang pesawat Malaysia
Airlines (MAS) MH370 yang dilapor hilang hari ini, amat berharap anak
perempuannya itu ditemui dalam keadaan selamat.
Tan Tuan Lay, 53, berkata anaknya Chew Kar Mooi, 31, ke Beijing atas urusankerja dan beliau hanya mengetahui mengenai kehilangan pesawat itu pada kira-kira


9 pagi tadi melalui anak sulungnya, Chew Kar Hui, 33 .

"Sebelum Kar Mooi menaiki pesawat dia ada menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) kepada kakaknya bahawa pesawat yang dinaikinya akan berlepas.

"Selepas itu, kami tidak dapat apa-apa berita mengenainya sehinggalah anak
sulung saya beritahu pihak MAS mengarahkannya membawa pasport ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami sekeluarga amat mengharapkan pesawat itu dijumpai dan anak kami
selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, Kerpan dekat
sini, hari ini.

Tan berkata anak keduanya itu, yang bekerja sebagai pegawai bahagian
pinjaman di Maybank Kuala Lumpur, merupakan seorang anak yang periang dan sering
berkongsi masalah dengan keluarga.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah pada Tahun Baharu Cina lepas,"
katanya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang pesawat itu Jee Jing Hang, 41,
menghubungi ibunya yang tinggal di Jitra sebelum bertolak ke Beijing, pada
kira-kira 11 malam tadi.

Abang mangsa, Jee Jing Hong, 42, berkata bagaimanapun adik lelakinya itu
yang juga pengatur cara komputer dan memiliki syarikat sendiri di Seremban,
tidak memaklumkan tujuannya ke Beijing.

Jing Hong dan kedua ibu bapanya begitu terkejut apabila dimaklumkan bahawa
pesawat B777-200 MAS dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan
Pusat Trafik Udara Subang kira-kira dua jam selepas bertolak dari KLIA pada
kira-kira 2.40 pagi.

Jing Hong berkata mereka sekeluarga mengetahui mengenai kejadian itu
daripada laporan berita di televisyen sebelum menghubungi MAS petang tadi.

"Saya tinggalkan nombor telefon kepada pengurusan MAS dan mereka
berjanji untuk memaklumkan saya sebarang perkembangan (insiden ini).

Dalam masa sama, saya memantau keadaan daripada laporan berita di televisyen, portal berita
dan radio bersama-sama saudara mara saya.

" Kami akan ke Kuala Lumpur tidak lama lagi selepas menerima pengesahan
mengenai keadaan pesawat itu," katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di
Taman Rasa Sayang, Jitra dekat sini.

Jing Hang merupakan duda yang mempunyai dua anak berusia 11 dan 13
tahun.

Pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang termasuk 12 kru, berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 12.41
pagi dan sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu waktu tempatan. - BERNAMA


Kenapa Masih Tiada Pengesahan Status Terkini Pesawat MH370?

Kenapa Masih Tiada Pengesahan Status Terkini Pesawat MH370? – Kehilangan Kapal Terbang dari KL ke Beijing yang masih belum dikesan sedang hangat diperkatakan di media masa. Dah lebih 20 jam pesawat MH370 dikhabarkan hilang tanpa sebarang berita. Persoalnnya kenapa masih tiada pengesahan status pesawat MH370? Ikuti laporan penuh yang dipetik dari Astro Awani.
status-terkini-pesawat-mh370

Kenapa Masih Tiada Pengesahan Status Terkini Pesawat MH370?

KUALA LUMPUR: Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing yang hilang sejak awal pagi Sabtu sehingga lewat petang masih belum lagi dapat disahkan nasibnya.
Apa yang menimpa pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu menjadi spekulasi orang ramai yang memulakan hari minggu mereka dengan berita yang mengejutkan itu.
Kebanyakan laporan media menyebut pesawat itu dipercayai terhempas di perairan Laut China Selatan, berdasarkan kepada lokasi akhir pesawat berkenaan dikesan melalui sistem perhubungan penerbangan.
Tetapi kenapakah pihak berkuasa belum mengesahkan laporan tersebut?
“Memang secara umumnya, siapapun boleh mengatakan pesawat itu terhempas tetapi kalau terhempas di manakah bangkainya?
Hanya kalau ada bangkai pesawat ditemui barulah pesawat itu boleh disahkan sebagai terhempas,” kata seorang pakar penerbangan kepada Astro AWANI.
Beliau yang enggan dikenali mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam soal kawalan trafik udara serta selok belok operasi mencari dan menyelamat.
Penerbangan MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal Sabtu, dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal dari 14 buah negara. Ia sepatutnya mendarat di Lapangan Antarabangsa Beijing pada pukul 6.30 pagi.
Ditanya bagaimanakah pesawat itu boleh hilang daripada radar, pakar berkenaan menjelaskan, ada kemungkinan pesawat itu terbang rendah pada paras bawah 500 kaki dari aras laut.
“Ada dua jenis radar yang digunakan iaitu radar pengawasan utama dan radar pengawasan sekunder,” katanya.
Radar pengawasan utama mengukur hanya jangkauan dan arah kompas dengan mengesan isyarat kelip pada skrin. Radar pengawasan sekunder pula sebaliknya tidak hanya mengesan maklumat yang sama tetapi boleh mengesan maklumat lain seperti paras ketinggian penerbangan dan identiti pesawat.
Tambah pakar itu, biarpun terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik, kedudukan pesawat itu masih boleh dikesan sekiranya ia terhempas kerana dilengkapi dengan sistem lampu suar tanda lokasi (emergency locator beacon) yang akan mengeluarkan isyarat apabila terhempas.
“Sistem ini kalis air. Maknanya, kalau pesawat terhempas ke dalam laut sekali pun ia akan dapat dikesan,” katanya.
Jelas beliau, apabila pesawat itu terkena impak baik di darat mahupun di laut, sistem itu akan terus mengeluarkan isyaratnya.
Di kalangan pemerhati industri penerbangan, insiden MH370 mengingatkan kepada nahas pesawat jenis Airbus 330-203 milik Air France yang terhempas ke dalam laut di perairan dengan Rio de Janeiro pada 1 Jun 2009 tetapi bangkai pesawat itu hanya ditemui dua tahun kemudian.
MH370 dipandu oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun, yang berpengalaman mencatatkan jam penerbangan selama 18,365 jam. Beliau menyertai Malaysia Airlines pada 1981. Zaharie dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid, 27 tahun, yang menyertai Malaysia Airlines pada 2007.
Sementara itu bekas Pengarah Urusan Penerbangan MAS, Tan Sri Abdul Aziz berkata penjelasan mengenai insiden ini perlu dibuat dengan berhati-hati dan maklumat yang lengkap kerana ia membabitkan implikasi perundangan. – Sumber
Ingat tu, selagi bangkai pesawat tidak ditemui jangan pandai-pandai buat spekulasi kata pesawat terhempas. Sama-sama kita doakan agar semua penumpang dan juga anak kapal selamat.